Wednesday 16 November 2011

Pintu Taubat Allah swt Sentiasa Terbuka Untuk Hamba-Nya

Assalamualaikum wbt..

Baru-baru ini ada seseorang bertanyakan kepada saya apa itu taubat dan bagaimana untuk bertaubat? TAUBAT adalah cara paling kuat dan berkesan untuk berubah. Seorang yang jahat akan berubah menjadi baik setelah bertaubat, seorang yang bermulut lancang akan menjadi pendiam dan beradab setelah bertaubat, seorang yang malas untuk beramal ibadah akan menjadi rajin untuk sentiasa mengingati Allah dan seorang yang syirik menjadi alim setelah bertaubat.


Hakikat taubat adalah menyesal terhadap apa yang telah terjadi, meninggalkan perbuatan tersebut serta-merta dan memiliki keazaman yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa yang akan datang.
Taubat adalah sebuah keinginan untuk kembali kepada Allah. Landasan taubat adalah mencari Allah. Kecenderungan bertaubat terdetik di hati kerana keinginan yang membuak-buak untuk membuat perubahan dan penyesalan yang tidak terhingga.
Pertama sekali, niat untuk bertaubat harus murni. Kemurnian ini memberi petanda kepada keikhlasan untuk mencari hidayah dan semoga hidayah tersebut akan dilimpahkan ke atas hati yang sedar dan insaf. Kesucian inilah yang menarik kuat kasih sayang Allah.
Junjungan besar Rasulullah s.a.w mengucapkan doa ini, yang dibaca setiap kali berwuduk iaitu: Ya Allah, jadikan hamba termasuk ke dalam 'At-Tawwabiin' (mereka yang bertaubat), dan jadikan hamba termasuk ke dalam 'al-Muthathahirin' (mereka yang disucikan), dan jadikan hamba termasuk ke dalam 'As-solihin'(mereka yang soleh). Bahkan Rasulullah pun masih memohon kepada Allah untuk dimasukkan ke dalam golongan orang yang bertaubat. Bagaimana pula dengan kita?
             Keinginan untuk bertaubat adalah pilihan dan panggilan Allah terhadap hamba yang dikasihi-Nya. Sekiranya terdetik dalam hati dan mulai tumbuh bibit-bibit kegelisahan dalam hidup ataupun rasa kuat keinginan untuk kembali kepada-Nya, itulah tanda Allah sedang memanggil dan insya-Allah, hidayah sedang menusuk ke dalam hati kita.
            Kesempatan ini harus digunakan sepenuhnya dan jangan sesekali diabaikan. Peluang sebegini bukannya mudah untuk mendapatkannya kerana hasrat untuk kembali kepada fitrah adalah suara hati setiap orang. Memilih untuk tidak mahu bertaubat dan tidak menghiraukan panggilan-Nya, maka orang itu termasuk orang yang rugi.

            Di sini saya ingin berkongsi sebuah cerita di mana ada seorang pemuda yang terlalu sedih kerana ditipu rakan wanitanya untuk berkahwin. Kesedihannya sangat panjang. Tiga tahun beliau menyimpan rasa kecewa. Setiap kali ada kesempatan beliau akan pergi ke tempat-tempat mereka pernah bersama, mengingati detik-detik indah dan ternyata keadaan itu membuatkannya berasa gembira. Tetapi apakan daya, wanita yang dicintainya ini seorang yang tidak setia dan tidak boleh dipercayai.
            Runtunan hati yang merindui dan mengingati teman wanitanya membuatkan pemuda ini meluahkan isi hatinya kepada kaunselor yang berpengalaman. Mereka berhubung hanya melalui emel dan jawapan yang diberikan telah mengubah persepsinya selama ini.
            Selepas tiga tahun menderita, akhirnya beliau melihat masih ada sinar dalam hidup yang tidak pernah beliau fikir. Berikut adalah jawapan yang mengubah paradigma dan membuatkan pemuda ini melihat masa depan yang lebih positif dalam hidupnya. Jawapan kaunselor kepada pemuda itu, begini:
            “Perasaan cinta kepada wanita itu adalah satu naluri semula jadi seorang insan. Namun, ia bukanlah harus disusuli dengan tindakan dan perbuatan yang melanggar hukum Allah kerana jika ini berlaku maka kita juga akan melawan hukum fitrah.”
            Cinta yang sejati sebenarnya akan lahir bukan sebelum perkahwinan tetapi selepas berkahwin kerana sesungguhnya Allah yang akan mempertautkan hati dua insan.
Jika Allah yang mempertautkan hati di antara dua insan, ia akan berkekalan dan besar ertinya dalam kehidupan harian kita ini.
            Persoalan mungkin timbul iaitu apa pula perasaan yang sedang saudara dan mungkin ribuan manusia di muka bumi ini merasainya iaitu perasaan yang dirasai kepada seorang lelaki dan wanita sebelum perkahwinan.

       Jika perasaan itu mendalam sehingga mengajak kepada satu tindakan yang kurang wajar seperti tidak tidur malam asyik memikirkan si kekasih, makan tidak kenyang kerana tiada selera setelah lama tidak bertemu, rindu dilepaskan dengan berjumpa selalu, yakinlah... dan yakinlah sebenar-benarnya ia bukan datang dari Allah tetapi dari syaitan laknatullah.. Syaitan yang membisikkan ke dalam diri seseorang insan itu agar terus berhubungan dan mempunyai perasaan yang bukan-bukan atas nama 'cinta' untuk mendekati seseorang.
        Syaitan ada pada setiap diri anak Adam. Cuma bergantung kepada kita. Seandainya iman kita kuat, tiada apa-apa yang boleh dilakukan oleh syaitan tetapi jika iman kita lemah, kita mudah akan dipermainkan dan diperkotak-katikkan. Akhirnya, kita akan mudah menjadi hamba syaitan. 
         Apa yang buruk dan kurang datangnya dari saya dan apa yang baik datangnya dari Allah s.w.t. Semoga apa yang di kongsi oleh saya sedikit sebanyak dapat memperbaiki amalan anda dan juga saya sendiri. InsyaAllah..Amin..

No comments:

Post a Comment